PETALING JAYA – Penampilan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai penyampai info cuaca bersama Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) hari ini mencuri tumpuan orang ramai.
Menerusi sebuah video di media sosial rasmi MetMalaysia bertarikh hari ini, Siti muncul dari studio Met Malaysia sambil menyampaikan peringatan berkaitan Monsun Timur Laut dan kepentingan orang ramai sentiasa peka terhadap maklumat cuaca semasa.
Dalam penyampaiannya, Siti berkata Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh telah bermula pada November dan akan berterusan sehingga Mac.
“Kita akan merasa cuaca yang lebih lembab semasa November hingga Januari, terutamanya di negeri-negeri Timur Semenanjung, Laut Sabah dan juga Barat Sarawak.
“Pada musim tengkujuh, kawasan tekanan rendah dan vortex wujud di rantau negara. Pada masa yang sama, terdapat sistem udara bertekanan tinggi di Siberia,” katanya.
Siti berkata, luruan monsun berlaku apabila angin sejuk dari Siberia bertembung dengan luruan angin timuran dari Pasifik bergerak ke arah rantau negara.
“Disebabkan itu, hujan lebat, angin kencang
serta ombak besar berlaku, khususnya di pantai timur Semenanjung. Dan ini berpotensi mengakibatkan kejadian banjir di kawasan rendah dan berisiko.
“Diminta orang ramai untuk sentiasa peka dengan perkembangan cuaca. Maklumat dan juga amaran terkini boleh diperolehi melalui www.med.gov.my dan juga media sosial Med Malaysia.
“Jangan lupa untuk muat turun aplikasi My Cuaca dan Rakan Med bagi maklumat terkini dan juga sahih. Sekian daripada saya, Assalamualaikum. Jaga diri,” ujarnya.
Video penyampaian Siti itu membuatkan ramai yang terpegun selain turut mengingati kembali fenomena sama ketika beliau pernah tampil menyampaikan laporan cuaca MetMalaysia pada tiga tahun lepas.
Difahamkan video yang dimuat naik hari ini merupakan rakaman ulang tayang yang dirakam ketika Siti datang ke studio MetMalaysia pada tahun 2022.
Tinjauan di ruangan komen mendapati ramai yang menyifatkan inisiatif membawa figura berpengaruh menyampaikan laporan cuaca sebagai pendekatan berkesan untuk menarik lebih ramai orang kekal cakna terhadap amaran cuaca dan risiko bencana.
“Sebabkan TokTi, pertama kali aku tengok video ramalan cuaca sampai habis. Tahniah MetMalaysia atas inisiatif ini,” komen Alexander.
“Penyampaian yang cukup baik dari Biduanita Negara. Harap MetMalaysia teruskan bawa figura macam ini,” komen Edward.
“Pembaca berita kaji cuaca paling sedap suara sepanjang bersiaran,” komen Siza pula. – KOSMO! ONLINE














