fbpx
Aliran trafik di kebanyakan lebuh raya utama seluruh negara dilaporkan sesak dan bergerak perlahan, kira-kira enam jam sebelum pemberian diskaun tol 50 peratus sempena sambutan Krismas berakhir 11.59 malam ini.

Trafik sesak, ramai balik kampung 6 jam sebelum diskaun tol tamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Aliran trafik di kebanyakan lebuh raya utama di seluruh negara dilaporkan sesak dan bergerak perlahan kira-kira enam jam sebelum diskaun tol 50 peratus sempena sambutan Krismas yang berakhir pukul 11.59 malam ini.

Menurut kemas kini Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia, setakat pukul 4.11 petang tadi, peningkatan jumlah kenderaan dikesan di Lebuh Raya Utara-Selatan, lebuh raya sekitar Lembah Klang dan laluan utama ke selatan dan utara tanah air ekoran pergerakan pulang anak perantau.

Selain cuti umum Krismas esok, orang ramai mengambil peluang melanjutkan tempoh cuti memandangkan cuti persekolahan akhir tahun berlangsung selama dua minggu.

Di Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, trafik bergerak perlahan dari Gua Tempurung ke Gopeng, Jawi ke Bandar Cassia, Juru Auto City ke Perai, Sungai Dua ke Plaza Tol Sungai Dua dan Skudai ke Hentian Sebelah Kulai akibat treler rosak di Kilometer (KM) 25.9 yang menghalang lorong kecemasan.

Bagi arah selatan, kesesakan dilaporkan berlaku dari Juru Auto City ke Plaza Tol Juru dan Gopeng ke Tapah susulan kemalangan di KM) 306.9 yang menyebabkan lorong kecemasan ditutup.

Keadaan sama turut berlaku di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) arah selatan dari Kota Damansara ke Damansara dan Subang ke Shah Alam.

Aliran trafik di Lembah Klang pula menunjukkan berlaku kesesakan di Lebuh Raya Shah Alam, Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah, Lebuh Raya Damansara-Puchong, Lebuh Raya Sungai Besi dan Lebuh Raya Kuala Lumpur Karak disebabkan kenderaan rosak dan kemalangan kecil.

Pada masa sama, kesesakan dilaporkan di Lebuh Raya Tambak Johor melibatkan laluan CIQ Sultan Iskandar ke CIQ Woodlands, Singapura bagi kedua-dua arah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN