PETALING JAYA – Aliran trafik dilaporkan perlahan di beberapa lebuh raya utama ekoran pertambahan kenderaan ekoran cuti dan diskaun tol sempena sambutan Krismas esok.
Menerusi tinjauan di televisyen litar tertutup Lembaga Lebuh Raya, setakat pukul 8.50 pagi tadi, trafik dilaporkan terkawal dari arah timur iaitu di susur masuk Plaza Tol Gombak dan Genting Sempah ke Bentong meskipun adanya pertambahan kenderaan.
Di Lebuh Raya Plus Utara pula, trafik kelihatan perlahan ke arah utara seperti di Rawang Selatan dan Hospital Sungai Buloh namun kelihatan lancar di Slim River menuju ke Sungkai.
Di Lebuh Raya Plus Selatan, trafik kelihatan sesak di KM 285.0 arah Selatan dari Putra Mahkota ke Nilai ekoran terdapat kerja pengalihan lori rosak sehingga lorong kecemasan terhalang.
Trafik juga perlahan di KM 280.7 arah Selatan dari Nilai ke Bandar Ainsdale ekoran kemalangan sehingga menyebabkan lorong kanan terhalang. – KOSMO! ONLINE














