PENURUNAN kedudukan Harimau Malaya dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) tidak wajar dijadikan ‘senjata’ buat mana-mana pihak untuk saling menuding jari.
Walaupun perit untuk ditelan, penurunan ini berlaku kerana isu luar padang dan ia wajar dilihat daripada sudut lebih positif untuk memenuhi harapan melihat Harimau Malaya terus jadi pasukan lebih baik.
Jurulatih berpengalaman, Raja Isa Raja Akram Shah berkata, tiada guna untuk meratapi apa yang sudah pun berlaku sebaliknya harus lihat perkembangan ini daripada aspek lebih positif.
“Tidak boleh nafikan pasti akan ada rasa kesal (dalam pasukan) kerana penurunan ini bukan sebab keputusan kita dalam perlawanan. Tetapi, perkara ini sudah jadi dan pendapat saya, mungkin ada hikmah lebih baik selepas ini.
“Perkara paling penting sekarang adalah ambil perkara ini daripada aspek lebih positif. Walaupun perit, kita semua harus telan perkara ini dan mula balik untuk jadi lebih baik.
“Macam kita makan ubat, walaupun pahit untuk ditelan. tetapi ia demi kebaikan dan jadi lebih baik,” katanya.
Dalam kemaskini terbaharu FIFA, pembatalan keputusan Harimau Malaya dalam tiga perlawanan persahabatan menentang Cape Verde, Singapura dan Palestin dengan Malaysia dianggap tewas 0-3 mengakibatkan skuad negara jatuh lima anak tangga, kini menghuni kedudukan ke-121 dunia.
Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli yakin pemerhati, peminat dan seluruh rakyat Malaysia tidak akan menyalahkan pemain atau jurulatih yang sudah bekerja keras.
“Tidak boleh nafi ada kecewa, tetapi perkara ini sudah berlaku. Kita kena lihat lebih ke depan kerana kalau mahu bercakap tentang isu yang berlaku, mungkin tanpa pemain yang dikatakan tidak sah itu kita tidak dapat keputusan yang sudah kita raih dan mungkin ranking tidak naik seperti sebelum ini.
“Bagi pemain dan seluruh anggota pasukan, kita faham kerja keras mereka, namun tidak perlu terlalu kecewa. Saya percaya semua orang faham tentang apa yang jadi dan tiada siapa pun yang akan salahkan mereka,” katanya.














