PUTRAJAYA- Pengurusan permohonan penggajian tenaga kerja asing bagi sektor perkhidmatan bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dilaporkan menghampiri had kuota ditetapkan kerajaan iaitu sebanyak 30,000.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan berkata, permohonan kuota melalui Pusat Sehenti (OSC) Pengurusan Pekerja Asing itu akan ditutup lebih awal iaitu mulai Jumaat ini bagi memastikan pengurusan permohonan dilaksanakan secara teratur.
“Bagaimanapun, permohonan kuota penggajian pekerja asing bagi sektor dan subsektor lain yang dibenarkan masih dibuka sehingga 31 Disember tertakluk pada ketetapan sedia ada.
“Oleh itu, semua majikan yang berhasrat untuk menggajikan pekerja asing bagi sektor berkenaan hendaklah memastikan permohonan dikemukakan sebelum tarikh tutup tertakluk pada syarat dan peraturan yang sedang berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
KDN berkata, pihak majikan boleh merujuk laman sesawang rasmi KDN dan KPDN, serta hebahan rasmi yang dikeluarkan dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi kerajaan. – KOSMO! ONLINE














