fbpx
Gambar Hiasan

Penduduk KL berbelanja dua kali ganda untuk keperluan sama di Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Penduduk Kuala Lumpur perlu berbelanja hampir dua kali ganda bagi memperoleh keperluan asas yang sama berbanding penduduk Kelantan.

Berdasarkan dapatan terbaharu Indikator Kos Sara Hidup, Malaysia 2024 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan (DOSM), analisis Indeks Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) menunjukkan kos kehidupan wajar bagi isi rumah seorang di Kelantan adalah 46.3 peratus lebih rendah berbanding Kuala Lumpur.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, jika seorang individu yang tinggal di Kuala Lumpur perlu berbelanja RM1,000 untuk mengekalkan kehidupan wajar, individu sama di Kelantan hanya memerlukan kira-kira RM537.

Jelasnya, Indeks PAKW merupakan indikator baharu yang diperkenalkan bagi mengukur tahap perbelanjaan minimum diperlukan untuk kehidupan wajar di pelbagai lokasi, dengan Kuala Lumpur ditetapkan sebagai nilai rujukan pada indeks 100.

Tambahnya, semakin tinggi nilai indeks, semakin tinggi kos kehidupan wajar di sesuatu kawasan, manakala nilai lebih rendah mencerminkan kos sara hidup yang lebih rendah namun masih mencukupi untuk kehidupan wajar.

Bagi perbandingan antara negeri, Selangor merekodkan indeks tertinggi bagi hampir semua saiz isi rumah.

“Untuk isi rumah seorang, Selangor mencatat indeks 92.0 mata, diikuti Pulau Pinang (84.2) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (83.1).

“Sebaliknya, Kelantan, Sarawak dan Kedah berada pada kedudukan terendah dengan indeks masing-masing sekitar 53.7 hingga 56.6 mata, menunjukkan kos kehidupan wajar yang jauh lebih rendah,” katanya.

Mohd Uzir berkata, trend sama turut dilihat bagi isi rumah dua, tiga serta empat orang apabila Selangor kekal mencatat indeks tertinggi, manakala Kelantan, Kedah, Perlis dan Sabah berada pada paras terendah.

“Negeri dengan indeks tinggi seperti Selangor menunjukkan kos hidup yang lebih mahal, manakala negeri dengan indeks rendah seperti Kelantan, Kedah dan Perlis mencerminkan kos hidup yang lebih rendah tetapi masih berada pada tahap wajar,” jelasnya.

Di peringkat daerah pentadbiran pula, Mohd Uzir memberitahu, hanya Petaling di Selangor mencatatkan nilai Indeks PAKW melebihi Kuala Lumpur bagi semua saiz isi rumah.

“Bagi isi rumah seorang, Petaling merekodkan indeks tertinggi pada 103.3 mata. Sebaliknya, daerah Pantu di Johor, Lingga dan Sebuyau di Sarawak mencatatkan indeks terendah. Malah, kos kehidupan wajar bagi isi rumah seorang di Pantu adalah 72.2 peratus lebih rendah berbanding Kuala Lumpur.

“Jika seorang individu di Kuala Lumpur berbelanja RM1,000, individu sama di Pantu hanya memerlukan sekitar RM278. Bagi isi rumah empat orang pula, jumlah perbelanjaan wajar di Pantu hanya sekitar RM319 berbanding RM1,000 di Kuala Lumpur,” katanya.

Perbezaan ketara turut dilihat di peringkat ibu negeri apabila Shah Alam merekodkan Indeks PAKW tertinggi malah melebihi nilai rujukan Kuala Lumpur bagi pelbagai saiz isi rumah, manakala Kangar kekal sebagai ibu negeri dengan kos kehidupan wajar terendah.

Menurut Mohd Uzir, penemuan ini membuktikan wujud jurang kos sara hidup yang besar antara lokasi, sekali gus menekankan kepentingan Indeks PAKW sebagai rujukan kepada rakyat dan pembuat dasar.

“Indeks ini membantu memahami realiti perbelanjaan isi rumah mengikut lokasi dan boleh digunakan dalam perancangan dasar, penetapan gaji serta bantuan bersasar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN