fbpx
Gambar hiasan

Op Dadu Mega: 85 individu ditahan Op Dadu Mega

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seramai 85 individu ditahan dalam Op Dadu Mega bagi membanteras kegiatan judi online di seluruh negara sejak Sabtu lalu sehingga semalam.

Operasi itu dilaksanakan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama kontinjen negeri dengan tumpuan terhadap kegiatan judi dalam talian yang beroperasi secara haram melalui pusat panggilan.

Daripada 21 premis yang diperiksa, sebanyak 20 premis dijadikan pusat panggilan bagi mengurus dan mempromosi laman web perjudian yang menyasarkan pelanggan tempatan dan luar negara, termasuk Filipina, China dan Australia.

Sebuah lagi premis pula berfungsi sebagai pusat panggilan bagi aktiviti penipuan pelaburan tidak wujud yang menyasarkan mangsa dalam kalangan warga tempatan.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, seramai 62 lelaki dan 23 wanita yang ditahan dipercayai berperanan sebagai operator dan pegawai khidmat pelanggan.

“Daripada jumlah itu, 47 daripada mereka adalah warga tempatan. Polis merampas pelbagai peralatan seperti komputer, komputer tablet dan telefon bimbit bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesemua mereka dibawa ke ibu pejabat polis daerah masing-masing untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut di bawah peruntukan undang-undang termasuk Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959/63.

Kumar berkata, sejak 1 Januari sehingga semalam, pihaknya menyerbu 117 buah premis yang dijadikan pusat panggilan perjudian dan menahan 713 individu.

“Operasi seumpama ini akan terus dipergiatkan bagi membanteras aktiviti judi tanpa lesen di seluruh negara. Orang ramai digesa menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN