PETALING JAYA – Pelakon Datin Atikah Suhaime menegaskan pendiriannya untuk membesarkan cahaya mata sulungnya, Lyla Mulan Teh tanpa bantuan pembantu rumah, kecuali ketika tuntutan kerja benar-benar memerlukan.
Ujar Atikah atau nama lengkapnya Nur Atikah Mohd. Suhaime, 34, keputusan itu dibuat kerana mahu Mulan membesar dengan kasih sayang penuh daripada ibu bapa sendiri, bukan bergantung sepenuhnya kepada orang luar.
“Mulan bawa seribu satu rahmat dalam keluarga kecil kami. Bila keluar, saya memang tak bawa pembantu rumah sebab nak Mulan luangkan masa bersama kami.
“Saya nak dia kenal ibu dan ayah sejak kecil, bukan dijaga orang lain,” katanya dalam TikTok.
Tambah pelakon filem TanTiAna itu, pembantu hanya diperlukan bagi memudahkan urusan ketika bekerja agar fokus terhadap komitmen profesional tidak terganggu.
Malah dia mengakui, suaminya, Datuk Lokman Teh sudah memahami prinsip tersebut dan turut terlibat secara langsung dalam menjaga anak mereka.
“Bagi saya, maid hanya untuk bantu bila saya bekerja. Itu sahaja. Bila saya tak bekerja, saya sendiri nak jaga Mulan sepenuhnya.
“Syukur suami sangat faham. Dia pun sama-sama jaga Mulan. Kami bahagikan tanggungjawab dan nikmati fasa ini bersama,” jelasnya.
Perkongsian Atikah itu mencuri perhatian ramai dan rata-rata netizen memuji pendirian pelakon tersebut selain menyifatkan sikapnya sebagai contoh terbaik buat ibu muda.
“Ini baru ibu sebenar, sanggup jaga anak sendiri walaupun mampu ambil pembantu. Kasih sayang kena ada, jangan serahkan sepenuhnya kepada pembantu,” komen netizen.
“Tak semua orang sanggup buat macam ini, salute dengan Atikah.
“Anak kecil perlukan sentuhan ibu bapa, bukan semata-mata kemudahan,” tulis netizen.
Untuk rekod, Atikah mendirikan rumah tangga bersama Datuk Lokman Teh pada 21 Januari tahun lalu.
Hasil perkahwinan itu, pasangan tersebut dikurniakan cahaya mata sulung pada 8 Mac lalu dan diberi nama Lyla Mulan Teh. – KOSMO! ONLINE.














