SELAYANG – PDRM FC terus dihimpit kekalahan selepas tunduk 1-3 kepada Selangor FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, sebentar tadi.
The Cops yang dilaporkan berdepan isu gaji nyata tidak mampu untuk mencuri mata dan ini adalah kekalahan ketujuh berturut-turut.
The Red Giants memulakan aksi dengan positif dengan mencipta beberapa peluang terbaik menerusi bintang import, Chrigor Moraes dan tonggak Harimau Malaya, Faisal Halim.
Bagaimanapun, Selangor FC terpaksa menanti sehingga minit ke-20 untuk membuka jaringan menerusi Moraes dan ia kekal sehingga wisel babak pertama dibunyikan.
Bersambung babak kedua, Moraes sekali lagi menyerlahkan ketajaman apabila hanya memerlukan empat minit untuk merobek gawang tuan rumah buat kali kedua.
Selang empat minit selepas itu, Fakhrul Azim kembali merapatkan jurang namun ia seakan membangkitkan semangat Selangor FC yang memperoleh gol ketiga menerusi Noor Al-Rawabdeh pada minit ke-67.
Dalam aksi di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, DPMM FC mula menyerlahkan kualiti sebenar dengan merekodkan kemenangan ketiga berturut-turut.
Pada aksi kali ini, DPMM FC menewaskan Penang FC 2-0 hasil jaringan Jordan Murray pada minit ke-18 dan Azwan Ali, minit ke-23. – KOSMO! ONLINE














