PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali kecewa ketumpulan barisan serangan dan kelekaan benteng pertahanan terus menjadi duri dalam daging buat skuad kendaliannya sehingga tumbang 1-3 kepada Sabah FC dalam aksi Liga Super malam tadi.
Tambah mengecewakannya, anak buahnya gagal memanfaatkan jaringan awal diperolehi dalam aksi di laman sendiri, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus tersebut.
“Kita banyak mencipta peluang namun gagal menterjemahkannya kepada gol. Itu masalah utama kita malam ini.
“Pada masa sama, kita senang sangat dibolosi dengan membuka ruang kepada lawan dan membenarkan ‘free header’ (tandukan terbuka) yang membawa kepada gol pertama dan kedua,” katanya selepas perlawanan kelmarin.
Badrul Afzan berkata, situasi hampir sama berlaku pada aksi menentang Imigresen FC sebelum ini apabila skuad kendaliannya juga menguasai permainan namun tetap gagal menyudahkan peluang.
Beliau berkata, sebahagian anak buahnya juga dilihat bermain pada tahap sebenar sehingga terpaksa diganti pemain simpanan.
“Apapun saya harap pemain baharu yang dibawa masuk menggantikan Nurillo Tukhtasinov nanti mampu memberi impak segera.
“Posisi (ditinggalkan Tukhtasinov) itu amat penting. Pemain baharu amat diperlukan untuk membantu pasukan di pusingan kedua nanti,” katanya.
Biarpun tewas, skuad Sang Penyu kekal di tangga kelima liga dengan mengumpul 18 mata selepas 12 perlawanan, ketinggalan empat mata di belakang Selangor FC yang menghuni kedudukan keempat.
habis














