MELAKA – Lebih 1,000 kakitangan SWM Environment Sdn. Bhd. berdepan detik cemas apabila dewan sebuah resort di Bukit Katil di sini yang menjadi lokasi majlis makan malam syarikat itu tiba-tiba terbakar kira-kira pukul 8 malam tadi.
Kebakaran dikatakan berlaku selepas pengurus besar syarikat berkenaan selesai memberikan ucapan sebelum kepulan asap tebal tiba-tiba memenuhi ruang dewan.
Kesemua tetamu yang berada di lokasi berjaya menyelamatkan diri, namun seorang individu dilaporkan mengalami kecederaan ringan akibat bahang kebakaran.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd. Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.14 malam.
Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Katil telah dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan tersebut.
“Kesemua orang awam yang berada di dalam dewan berjaya keluar dan operasi pemadaman sedang dijalankan,” katanya.-KOSMO! ONLINE














