SEREMBAN — Sebuah kenderaan mewah milik seorang individu bergelar ‘Datuk’ berusia dalam lingkungan 40-an antara 106 buah kenderaan yang disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan sepanjang pelaksanaan Ops Luxury tahun ini.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, rampasan terbabit merupakan yang terbesar direkodkan tahun ini dengan peningkatan hampir 80 peratus kenderaan mewah berbanding tahun lalu yang hanya mencatatkan 20 kenderaan disita.
Menurut beliau, kenderaan yang disita melibatkan pelbagai jenama mewah termasuk Mercedes-Benz, Porsche, BMW, Audi, serta Toyota Alphard dan Vellfire dengan anggaran nilai pasaran mencecah sehingga RM1.2 juta.
“Selain 106 notis sita kenderaan, JPJ Negeri turut mengeluarkan 225 notis JPJ (P)22 menjadikan keseluruhan 318 tindakan penguatkuasaan sepanjang operasi tersebut.
“Antara kesalahan tertinggi direkodkan ialah Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh (102), tiada insurans (89) dan tiada lesen memandu (32),” katanya pada sidang akhbar Ops Luxury di pejabat JPJ Negeri Sembilan di Senawang di sini, hari ini.
Tambahnya, kenderaan mewah tersebut bukan sahaja dikesan melalui operasi khas, malah turut ditahan ketika operasi penguatkuasaan harian.
Beliau berkata, alasan yang kerap digunakan pemilik iaitu terlupa untuk memperbaharui cukai jalan tidak boleh diterima memandangkan sistem JPJ melalui aplikasi MyJPJ akan menghantar notifikasi peringatan kepada setiap pemilik kenderaan berdaftar. – KOSMO! ONLINE














