PUTRAJAYA – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menafikan kesahihan Kad Warga Emas Malaysia yang tular di aplikasi media sosial yang mana agensi itu tidak pernah mengeluarkan sebarang kad rasmi berkaitan perkara itu setakat ini.
JKM dalam satu kenyataan berkata, penularan maklumat palsu sedemikian boleh mengelirukan
orang ramai terutamanya dalam kalangan warga emas dan ahli keluarga mereka.
“JKM mengambil maklum mengenai penularan maklumat di media sosial dan aplikasi WhatsApp berkaitan pengeluaran Kad Warga Emas Rasmi Malaysia.
“Sehubungan itu, JKM ingin menafikan kesahihan maklumat tersebut. Untuk makluman, tiada sebarang pengeluaran Kad Warga Emas Rasmi Malaysia oleh JKM,” katanya hari ini.
Pada masa sama, JKM turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mendapatkan maklumat yang tepat, sahih dan terkini melalui saluran rasmi agensi itu.
“JKM juga sentiasa mengalu-alukan sebarang pertanyaan atau rujukan berkaitan perkhidmatan dan permohonan bantuan melalui Talian Kasih 15999, WhatsApp 019-261 5999 yang beroperasi 24 jam atau dengan menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) yang berhampiran.
“Kerjasama orang ramai untuk tidak menyebarkan maklumat tidak sahih amat dihargai bagi memastikan kesejahteraan dan kebajikan masyarakat terus terpelihara,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














