REMBAU – Jenazah Allahyarham Suri Narudin, 53, yang ditemukan meninggal dunia dalam keadaan tragis dengan mayatnya disumbat dalam beg sebelum ditanam di belakang rumah di Kampung Batu 4, Pedas, di sini, selamat dikebumikan malam ini.
Jenazah wanita itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Air Hitam, Chembong kira-kira pukul 8.10 malam selepas proses memandikan dan mengkafankan jenazah diuruskan Pertubuhan Amal Rembau dan Rompin.
Menurut sukarelawan Amal Team Rembau, Sabariah Mat Deris, 52, jenazah Suri masih kelihatan cantik dan bersih walaupun sudah meninggal dunia lebih dari tiga hari.
“Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan, syukur bersih, cantik jenazah. Saya urus bertiga dengan sukarelawan yang lain dan apabila maklum kepada ahli keluarga, mereka kata Allahyarham Suri sebelum ini selalu amalkan surah al-Mulk,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pengesahan mayat Suri yang dilaporkan hilang berdasarkan laporan Polis di Balai Polis Ampang pada 15 Disember telah dibuat melalui cap jari serta laporan analisis DNA (Deoxyribonucleic acid) oleh adik beradik kandung mangsa.-KOSMO! ONLINE














