BACHOK – Bapa kepada kanak-kanak lelaki yang lemas di Pantai Kemayang semalam tidak menyangka kegembiraan anaknya untuk mandi di pantai itu merupakan petanda mangsa akan pergi buat selama-lamanya.
Mohd. Afendi Ya, 44, berkata, Allahyarham Muhamad Irfan, 9, yang merupakan anak sulung daripada dua beradik sudah beberapa kali menuntut janji untuk membawanya mandi di pantai tersebut.
Menurut peniaga itu, dia dan isteri mengambil keputusan untuk membawa arwah bersama adiknya yang berusia enam tahun ke Pantai Kemayang petang semalam sempena cuti sekolah.
“Saya lihat arwah Muhamad Irfan sangat gembira apabila tiba di pantai dan terus mandi bersama dua rakannya. Ketika itu, saya tetap memerhatikan dia kerana bimbang akan keselamatannya.
“Pada awalnya, saya lihat tiada ombak besar yang melanda kawasan pantai, tetapi air mula pasang sebelum diikuti ombak kuat. Keadaan itu menyebabkan Muhamad Irfan ditarik ke tengah laut,” katanya ketika ditemui di Pantai Cherang Laut di sini hari ini.
Mohd. Afendi memberitahu, dia berasa terkilan kerana tidak dapat menyelamat anaknya apabila hanya sempat melihat Muhamad Irfan melambai tangan sebelum tenggelam.
“Saya amat berterima kasih dan menghargai usaha semua pihak termasuk penduduk kampung yang membantu operasi mencari Allahyarham Muhamad Irfan sehingga ditemukan selepas lebih 15 jam hilang,” katanya.
Tambahnya, jenazah kanak-kanak itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tempoyak Chepa, Binjai, Kota Bharu petang ini selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian. – KOSMO! ONLINE














