REMBAU – Keluarga Allahyarham Suri Narudin meminta orang ramai menghentikan spekulasi berhubung status hubungan antara wanita berkenaan dengan suspek utama yang ditahan bagi membantu siasatan.
Anak saudara Suri, yang ingin dikenali sebagai Syasya, 38, berkata, setakat diketahui ahli keluarga, hubungan ibu saudara dengan lelaki itu adalah pasangan kekasih.
“Kami mengetahui yang status antara suspek dengan Allahyarham adalah pasangan kekasih sahaja dan belum berkahwin. Itu daripada sisi keluarga kami. Jadi kami harap semua pihak menghentikan pelbagai spekulasi yang boleh mengundang pelbagai kekeliruan,” katanya ketika ditemui di Hospital Rembau di sini hari ini.
Terdahulu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri hadir menyantunj keluarga Allahyarham di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau.
Terdahulu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad mengesahkan mayat wanita disumbat dalam beg sebelum ditanam di belakang sebuah rumah di Kampung Batu 4, Pedas adalah Suri, 53, yang dilaporkan hilang di Ampang, Selangor.-KOSMO! ONLINE














