fbpx
AWIE, Erra dan Ziana kembali disatukan di atas pentas menerusi konsert Sembilu The Reunion yang bakal berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil pada 7 Februari 2026.

‘Erra, Ziana dah setuju, takkan nak kata tidak pula’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GANDINGAN tiga superstar ini pernah mencetuskan fenomena luar biasa dalam landskap filem negara 31 tahun lalu apabila filem lakonan mereka, Sembilu mencapai kutipan pecah panggung.

Kini selepas tiga dekad, Datuk Awie, Ziana Zain dan Erra Fazira bakal mengembalikan semula nostalgia zaman kegemilangan filem berkenaan dalam persembahan yang diberi nama konsert Sembilu The Reunion yang bakal berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil pada 7 Februari 2026.

Konsert ini boleh diibaratkan sebagai satu kejutan kerana segalanya direncanakan dalam waktu singkat.

Menurut penganjur konsert iaitu pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail, perancangan untuk menganjurkan konsert ini dibuat dalam masa 100 hari sebelum acara berlangsung.

“Ini merupakan konsert kedua Ideatelier anjurkan. Yang pertama konsert Sammy Simorangkir yang akan berlangsung pada 27 Disember depan. Apabila Konsert pertama mendapat sambutan hangat, kami yakin untuk teruskan dengan konsert kedua.

“Jadi lahirlah idea untuk menganjurkan konsert Sembilu yang membariskan ketiga-tiga pelakon filem tersebut yang juga merupakan penyanyi popular.

Sembilu merupakan sebuah filem yang menjadi fenomena pada tahun 1990-an. Saya mahu fenomena ini dihidupkan kembali dengan nafas baharu agar generasi kini dapat merasakan kekuatan dan emosi dalam filem Sembilu,” katanya.

 

BUKAN sekadar mengulit nostalgia, konsert Sembilu The Reunion menjanjikan kelainan dengan menyuntik elemen sketsa. – SADDAM YUSOF

Kongsi Ezuwan lagi, sebelum melamar kesemua bintang Sembilu, dia terlebih dahulu bertemu dengan pengarah dan penerbit filem tersebut iaitu Datuk Yusof Haslam untuk mendapatkan ‘lampu hijau’.

“Bila saya luahkan hasrat untuk menganjurkan konsert Sembilu, Datuk Yusof merestui hasrat kami. Selepas ini barulah saya hubungi Awie, Erra dan Ziana. Kesemuanya ‘berlangsung’ dalam masa satu hari.

“Allah permudahkan segala urusan saya memujuk kesemua mereka untuk terlibat dalam konsert ini biarpun pada mulanya saya agak gusar. Tetapi saya sudah nekad, walau apa pun yang berlaku saya akan tetap dapatkan mereka bertiga. Saya akan paksa sampai mereka kata yes,” kongsinya.

Sementara itu bagi hero filem Sembilu iaitu Awie, dia gembira apabila ada pihak yang ingin menganjurkan konsert Sembilu kerana dia sendiri pernah merancang untuk kembali bergandingan dengan Erra dan Ziana dalam sebuah konsert sebelum ini.

“Kami bertiga pernah bergandingan dalam konsert Suara Kita lebih sedekad lalu. Jadi saya ada merancang untuk kembali bergandingan dalam sebuah konsert. Tiba-tiba ada pihak yang ingin menganjurkan konsert kami bertiga.

“Bila penganjur beritahu Erra dan Ziana dah setuju, takkan saya nak kata tidak pula. Walaupun seminggu sebelum tarikh konsert ini saya ada konsert bersama kumpulan Wings,” kongsinya.

Bagi Ziana pula, dia juga sudah lama menunggu saat untuk kembali ‘reunion’ bersama Awie dan Erra.

“Dah lama saya tunggu saat ini dan Allah makbulkan doa saya untuk kami bertiga kembali beraksi dalam sebuah konsert tahun hadapan. Peminat pun selalu bertanya tak ada ke konsert Sembilu. Terima kasih kepada Ezuwan kerana merealisasikan impian mereka.

“Tetapi sebelum saya mengatakan ya, saya bertanya dulu beberapa perkara kepada Ezuwan iaitu dari segi aspek penganjuran sesebuah konsert.

“Bagaimana rangka promosi, siapa pemuzik yang terlibat serta bagaimana sistem bunyi dan pencahayaan konsert itu nanti. Kesemua perkara ini sangat penting. Tambahan pula konsert ini bakal berlangsung dalam waktu dua bulan dari sekarang.

“Saya harap pada hari konsert itu nanti kita akan lihat peminat daripada pelbagai generasi, daripada mak cik pak cik sampailah ke anak cucu mereka yang membesar melayan lagu-lagu dan filem lakonan kami bertiga,” ujarnya.

SELAKU penerbit dan pengarah filem Sembilu, Yusof (tengah) berbesar hati apabila ada pihak sudi menganjurkan konsert yang menggabungkan 3 bintang utama naskah fenomena itu.

Jika Awie dan Ziana dilihat aktif membuat persembahan di konsert berskala besar, lain pula dengan Erra.

Sebelum ini jika ditanya, Erra sering berkata, dia belum bersedia untuk berdiri di pentas besar untuk membuat konsert. Jika ada keinginan pun, mungkin sebuah ‘showcase’ untuk peminatnya.

“Kalau teman-teman media bertanya sebelum ini pun saya sering beritahu insya-Allah akan buat ‘showcase’ pada tahun hadapan tetapi tak tahu bila.

“Tiba-tiba datang pula tawaran untuk menganjurkan konsert Sembilu. Jadi saya rasa inilah peluang terbaik untuk saya kembali ke pentas.

“Bila ada dua orang teman baik saya ini, kuranglah sikit rasa gementar di atas pentas. Konsert ini adalah tanda ucapan terima kasih buat peminat-peminat kami yang masih menyokong dari zaman filem Sembilu sehinggalah sekarang,” jelasnya.

Filem Sembilu tidak akan terjadi tanpa cetusan idea Datuk Yusof Haslam. Melalui filem itu juga beliau mendapat gelaran Six Million Dollar Man dek kutipan Sembilu 2 yang mencecah RM65 juta. Kata Yusof, dia sangat berbesar hati apabila ada pihak yang sudi menganjurkan konsert Sembilu.

“Usia saya sekarang sudah 71 tahun. Saya anggap konsert Sembilu ini sebagai satu kenangan manis sebelum saya menutup mata. Filem ini merupakan kejayaan besar buat Skop Production biarpun ketika itu saya teragak-agak untuk menghasilkan filem cinta.

“Tetapi siapa sangka, filem ini mencetuskan fenomena sehingga berjaya mengutip RM4 juta untuk filem pertama dan RM6 juta untuk sekuel,” katanya.

Tiket untuk konsert Sembilu mula dijual pada 8 Disember bermula dengan RM149 (Pasrah), RM249 (Tragedi Oktober), RM289 (Halaman Asmara), RM349 (Cinta Abadi), RM489 (Anggapanmu), RM689 (Di Ambang Wati) dan RM1389 (Sembilu). – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN