KUALA LUMPUR – Seorang ejen insurans mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperdaya seorang lelaki sehingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian berjumlah RM900,000, dua tahun lalu.
Tertuduh, Teong Chooi Tim, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Norma Ismail.
Mengikut pertuduhan, Chooi Tim, 33, didakwa telah memperdaya seorang lelaki dengan menyamar sebagai pengarah sebuah syarikat pengurusan kewangan dan menawarkan pulangan keuntungan yang lumayan bagi pelaburan berjumlah RM900,000, sedangkan tertuduh bukan pengarah syarikat berkenaan.
Perbuatan itu telah mendorong mangsa membuat pemindahan wang tersebut melalui 31 transaksi ke dalam 17 akaun bank berbeza.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah premis perniagaan di Persiaran Alam Damai, Cheras, dekat sini, antara 25 November hingga 22 Disember 2023.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun, serta sebatan dan boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Batrisyia Mohd Khusri mencadangkan jaminan RM50,000 dengan dua orang penjamin warganegara Malaysia dan turut memohon syarat tambahan.
“Saya juga memohon syarat tambahan agar tertuduh melaporkan diri di balai polis terdekat sebulan sekali dan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah,” katanya.
Bagaimanapun, peguam bela, Ng Mei Yi yang mewakili tertuduh memohon jumlah ikat jamin lebih rendah dengan alasan Chooi Tim tidak berkemampuan dan perlu menanggung ibu bapanya yang sudah tua.
Norma membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti mana yang dipohon pihak pendakwaan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 27 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE














