BACHOK – Mayat seorang kanak-kanak lelaki yang lemas ketika bermandi-manda bersama dua rakannya di Pantai Kemayang di sini semalam dijumpai satu kilometer dari lokasi mangsa ditarik ombak.
Mayat Muhamad Irfan Mohd. Afendi, 9, ditemukan oleh orang awam di pesisir Pantai Cerang Laut di sini kira-kira pukul 10.48 pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Ahmad Ridhuan Mohamad Ghazali berkata, mayat kanak-kanak itu dijumpai kira-kira satu kilometer dari Pantai Kemayang sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Anggota bomba dan polis menggunakan dua buah bot bagi operasi mencari dan menyelamat pada pukul 9.37 pagi. Mayat mangsa dijumpai oleh orang awam di pesisir Pantai Cerang Laut kira-kira sejam kemudian,” katanya.
Kosmo! Online semalam melaporkan, kegembiraan seorang kanak-kanak lelaki bermandi-manda di Pantai Kemayang bersama rakan-rakannya sempena cuti sekolah berakhir dengan tragedi apabila dia dikhuatiri lemas petang semalam.
Kejadian pada pukul 6.45 petang itu disedari oleh bapanya, Mohd. Afendi Ya, 44 selepas melihat anaknya terkapai-kapai meminta pertolongan selepas ditarik ombak. – KOSMO! ONLINE














