BACHOK – Seorang bekas tentera terkejut apabila melihat mayat seorang budak lelaki dalam keadaan terapung menghampiri Pantai Cherang Laut di sini semasa membantu pihak berkuasa mencari mangsa di kawasan pantai tersebut hari ini.
Muhamad Irfan Mohd. Afendi, 9, ditemukan di pantai itu selepas 15 jam hilang apabila ditarik ombak semasa mandi di Pantai Kemayang di sini bersama dua rakannya kira-kira pukul 6.45 petang semalam.
Mohd. Faizal Fauzi, 41, berkata, dia berada di atas motosikal dan memantau keadaan Pantai Cherang Laut sebelum melihat mayat seorang budak lelaki hanyut menghampiri tepi pantai pada pukul 10.30 pagi.
Menurutnya, dia terkejut sebelum menghampiri mayat tersebut dan menggunakan sebatang kayu untuk menarik jasad kanak-kanak itu bagi mengelakkan ia ditarik semula oleh ombak ke tengah laut.
“Semasa memantau dari atas motosikal, saya terkejut melihat mayat mangsa berada dalam keadaan terapung di depan mata. Saya terus menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang turut menjalankan rondaan di kawasan pantai itu,” katanya ketika pemberita di Pantai Cherang Laut di sini hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohd. Azrie Sulaiman berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi mangsa ditarik ombak.
“Ibu bapa mangsa membuat pengecaman di lokasi kejadian sebelum mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk proses bedah siasat. Berdasarkan rekod, dua kes lemas dilaporkan di kawasan pantai di Bachok sepanjang tahun ini iaitu di Pantai Impian dan Pantai Kemayang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














