KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia agar terus memperkukuh perpaduan dan menolak kebencian khususnya ketika dunia kini berdepan ketidaktentuan ekonomi, konflik kemanusiaan serta perpecahan sosial.
Anwar dalam hantaran di Facebook berkata, Malaysia memilih jalan perpaduan, dialog dan saling menghormati sebagai asas membina masa depan negara.
“Kerajaan Madani percaya keharmonian tidak lahir secara kebetulan, tetapi dibina melalui dasar yang adil, peluang yang saksama, serta budaya saling memahami dalam kalangan rakyat berbilang agama dan kaum.
“Perpaduan yang tulen terzahir apabila setiap warga dihormati, dilindungi dan diberi ruang untuk menyumbang kepada masa depan negara,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar mengajak rakyat mengambil semangat Hari Natal sebagai peluang memperkukuh nilai kemanusiaan, empati dan saling menghormati.
“Marilah kita memperkukuh tekad untuk menolak kebencian dan menyemai empati kerana kekuatan Malaysia terletak pada kesatuan dalam kepelbagaian,” ujarnya.
Mengakhiri kenyataan, Anwar menzahirkan ucapan kepada penganut Kristian yang menyambut Hari Natal pada 25 Disember, dengan doa agar perayaan itu membawa kebaikan kepada semua.
“Selamat Hari Natal kepada semua penganut Kristian yang menyambutnya esok, moga sambutan ini membawa kedamaian, keharmonian dan kemakmuran kepada Malaysia serta seluruh rakyatnya,” katanya.- KOSMO! ONLINE














