SHAH ALAM – Hasrat Ismanira Abdul Manaf, 30, untuk menangguhkan hukuman penjara lima tahun yang dihadapi atas kesalahan mengabaikan anaknya, Allahyarham Zayn Rayyan hingga menyebabkan kecederaan fizikal, tidak kesampaian apabila permohonan itu ditolak oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin memutuskan demikian selepas meneliti segala afidavit dan hujahan termasuk secara lisan daripada pemohon serta responden.
“Permohonan ditolak disebabkan tiada keadaan khas,” katanya. Untuk rekod, Ismanira telah dipenjara selama 53 hari termasuk hari ini selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 31 Oktober lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen, Dr. Syahliza Warnoh memerintahkan wanita itu ke Penjara Wanita Kajang serta-merta selepas menolak permohonan untuk menangguhkan hukuman tersebut sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan yang berusia enam tahun (ketika kejadian) didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai di antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.- KOSMO! ONLINE














