ALOR SETAR – Polis melengkapkan kertas siasatan bagi tujuan pendakwaan terhadap warden yang didakwa merotan seorang pelajar tahfiz berusia 11 tahun dalam kejadian di maahad tahfiz di Sungai Kob, Kulim, dekat sini September lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, kertas siasatan berkenaan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam dengan cadangan pertuduhan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak, melibatkan pengabaian yang boleh menyebabkan kecederaan.
Adzli berkata, kes yang pada awalnya diklasifikasikan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan disemak semula sebelum dirujuk kepada AGC dengan cadangan pertuduhan lebih bersesuaian di bawah Akta Kanak-Kanak.
“Kejadian ini membabitkan pelajar berusia 11 tahun dan polis terpaksa mohon perintah OTI (Order to Investigate) bagi menahan lelaki yang dipercayai warden maahad tahfiz berkenaan.
“Berikutan mangsa di bawah umur polis juga terpaksa merujuk kepada CIC (Child Interview Centre) bagi memastikan mangsa dapat memberikan keterangan secara konsisten ketika di mahkamah nanti,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.
Tambah beliau, siasatan dilengkapkan dengan laporan perubatan, laporan CIC serta rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), selain keterangan daripada individu yang disyaki terlibat.
“Kita lengkapkan dengan laporan perubatan laporan CIC, salinan rakaman CCTV dan kita hantar lengkap kertas siasatan walaupun pada awalnya diklasifikasikan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
“Kita juga mengambil keterangan daripada ustaz yang disyaki itu dan hantar laporan kepada AGC semalam dengan cadangan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak pengabaian kanak-kanak yang boleh menyebabkan kecederaan,” katanya.
Akhbar ini sebelum ini melaporkan, kejadian kira-kira pukul 2 pagi pada 29 September lalu itu berlaku apabila murid berkenaan didakwa dirotan kerana mengganggu pelajar lain yang sedang belajar. – KOSMO! ONLINE














