PETALING JAYA – Dua kali bercerai, pengacara Nadia Annuar menasihati pasangan yang sedang berdepan fasa sama agar jangan mendedahkan hal dalam kain kepada umum.
Nadia atau nama lengkapnya, Nadia Shahrul Annuar, 41, berkata, berbalah atau menelanjangkan keburukan satu sama lain dalam media sosial bakal meninggalkan kesan buruk terutama buat anak-anak.
“Nasihat kakak yang pernah bercerai dua kali, tak payah jaja sangat cerita kenapa nak cerai, siapa baik siapa buruk. Nak cerai saja kan? Bukan jutawan nak berebut harta pun kena bukti siapa yang salah kan?
“Ada anak-anak, kita fikir masa depan anak dah besar malu nanti. Satu Malaysia tahu cerita celah kain mak bapa dia masa cerai. Malu,” katanya dalam hantaran di Threads.
Menurutnya lagi, apabila anak-anak semakin membesar, mereka berkemungkinan dapat melihat semua kisah buruk keluarga yang berisiko mempengaruhi emosi.
Begitupun, ibu tunggal dua anak itu tidak mengaitkan mana-mana pihak berhubung perkongsian dibuat.
Menerusi ruangan komen, ramai pengguna media sosial sependapat dengan teguran disampaikan personaliti televisyen itu.
“Setuju. Nasihat bijak. Ramai juga artis yang beginikan. Tiada lagi cerita, tamatkan. Ada yang masih kawan baik. Kalau wartawan tanya, jawab ‘no comment’. Itu hal peribadi,” tulis seorang netizen.
“Setuju, jejak digital tak akan hapus dek zaman. Nanti anak dah besar cari fasal ibu bapa, yang mereka jumpa aib,” ujar pemilik akaun Threads lain.
Sebelum ini Nadia pernah mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Hafiz Salleh tetapi bercerai dua tahun lalu dan dikurniakan seorang anak perempuan, Dya Naylaa, 7 tahun.
Perkahwinan pertamanya pula dengan Datuk Sulaiman@Mohd. Helmi Mohd Ilyas sebelum mereka berpisah pada Oktober 2010.
Mereka dikurniakan seorang anak, Mohamed Aaron Erwin kini berusia 16 tahun. – KOSMO! ONLINE














