fbpx
PEMAIN negara, Iqbal Hazim Radzi (No. 9) meraikan jaringannya pada aksi pertama Kumpulan B Kejuaraan B-19 Asia Tenggara di Stadium Nonthaburi, sebentar tadi.

Skuad negara bangkit ikat Myanmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK – Skuad futsal Bawah 19 Tahun (B-19) menyerlahkan kebangkitan luar biasa untuk mengikat Myanmar 3-3 pada aksi Kumpulan B Kejuaraan B-19 Asia Tenggara di Stadium Nonthaburi, sebentar tadi.

Terdahulu, pemain negara yang majoritinya baharu pertama kali bermain di pentas antarabangsa dilihat berdepan kesukaran hingga melakukan beberapa kesilapan mudah dan sering hilang bola.

Kesungguhan anak buah Rakhpol Seinetngam wajar dipuji kerana kekal berdisiplin sepanjang perlawanan dan kekal bekerja keras setiap kali berdepan serangan Myanmar.

Pada aksi separuh masa, skuad negara juga dilihat berdepan kesukaran melepasi kawalan pemain Myanmar khususnya dalam situasi satu lawan satu.

Myanmar yang tampil lebih yakin berjaya membuka jaringan menerusi Kyaw Min Khant seawal minit ke-5 namun selang seminit selepas itu, kedudukan kembali seimbang hasil ledakan Iqbal Hazim Radzi.

Bagaimanapun, memasuki minit ke-10, Myanmar sekali lagi berada di depan dan kali ini giliran Hae Mar Htay merakam nama selaku penjaring.

Myanmar memasuki bilik persalinan dengan lebih selesa apabila Kaung Htet Naing meledak gol ketiga pasukannya pada minit ke-18.

Skrip hampir sama terus berulang di babak kedua namun segalanya berubah pada minit ke-30, menyaksikan ketua pasukan negara, Mohamad Faaris Amsyar Marhaidi menghasilkan jaringan kedua skuad negara.

Selang tiga minit selepas itu aksi bertambah dramatik apabila skuad negara memperoleh gol ketiga menerusi Muhammad Adam Rayyan Nor Hisam.

Pemain negara terus menyerlahkan keberanian untuk menambah jaringan namun beberapa peluang terbaik gagal disudahkan dengan lebih sempurna.

Khamis ini skuad negara akan turun buat kali kedua menentang Indonesia dan kemenangan ke atas skuad muda Garuda bakal mengesahkan slot separuh akhir. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN