KUALA TERENGGANU – Hajat seorang pegawai tadbir untuk meraih keuntungan berganda daripada skim pelaburan matawang asing atau forex bukan sahaja tidak kesampaian malah dia pula yang kerugian RM11,717.
Lelaki berusia 58 tahun yang menyedari tertipu tersebut telah membuat laporan berhubung kes tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 12.08 tengah hari, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, lelaki tersebut tertarik dengan iklan skim pelaburan forex berkenaan yang dilihatnya di laman Facebook pada 10 Disember lalu.
“Mangsa kemudiannya berhubung dengan individu didakwa penganjur skim pelaburan forex berkenaan menerusi aplikasi WhatsApp.
“Dia telah dijanjikan kononnya keuntungan hampir empat kali ganda dengan cuma bermodalkan RM300,” katanya di sini hari ini.
Azli berkata, pegawai tadbir tersebut semakin teruja apabila ‘memperolehi keuntungan RM11,000 dalam tempoh cuma dua jam.
Beliau berkata, lelaki berkenaan turut mengikut arahan membuat pembayaran tambahan kononnya bagi pengeluaran keuntungan berkenaan.
“Pembayaran itu dilakukan mangsa menerusi transaksi ke dalam tiga akaun bank diberi suspek antara 11 Disember hingga 15 Disember lalu namun tidak memperolehi apa-apa pulangan dijanjikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














