SHAH ALAM – Hanya dua patah perkataan, “mahkamah terbaik”, itu reaksi yang diberikan oleh Zaim Ikhwan Zahari, 30, selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan penangguhan hukuman isterinya, Ismanira Abdul Manaf, 30, hari ini.
Keputusan tersebut dibuat oleh Hakim Datuk Aslam Zainuddin yang tidak membenarkan permohonan Ismanira, sekali gus menyebabkan wanita itu kekal dipenjara atas kesalahan mengabaikan anaknya, Allahyarham Zayn Rayyan, sehingga menyebabkan kecederaan fizikal, dua tahun lalu.
Suasana di luar mahkamah menjadi tumpuan apabila Zaim enggan mengulas lanjut, memilih untuk berlalu pergi tanpa memberikan kenyataan tambahan kepada pihak media.
Dalam perkembangan sama, bapa Zaim, Zahari Mohd. Reba, 57, turut mengambil sikap berdiam diri dan menolak untuk memberikan sebarang komen berhubung keputusan mahkamah yang mengejutkan itu.
Keputusan tersebut sekali lagi mencetuskan perhatian ramai terhadap kes tragis melibatkan Allahyarham Zayn Rayyan yang terus menghantui ingatan masyarakat.
Untuk rekod, Ismanira telah dipenjara selama 53 hari termasuk hari ini selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 31 Oktober lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen, Dr. Syahliza Warnoh memerintahkan wanita itu ke Penjara Wanita Kajang serta-merta selepas menolak permohonan untuk menangguhkan hukuman tersebut sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi. – KOSMO! ONLINE














