BEIJING – Seorang lelaki di China menyaman teman wanitanya dan menuntut agar wang sebanyak 50,000 yuan (RM29,000) dikembalikan kerana tidak berpuas hati dengan sikap gadis itu yang kuat makan, lapor portal berita South China Morning Post hari ini.
Lelaki yang hanya dikenai sebagai He meminta wanita bernama Wang memulangkan wang sebanyak 20,000 yuan (RM11,600) bagi bayaran awal mas kahwin pengantin perempuan yang telah dibuat oleh keluarganya.
Dia juga menuntut Wang memulangkan 30,000 yuan (RM17,300) yang dibelanjakan untuknya sepanjang mereka bercinta. Jumlah itu termasuk pembelian seluar ketat berwarna hitam dan pakaian dalam.
Berdasarkan perbicaraan mahkamah, pasangan itu pergi ke wilayah Hebei di utara China dan mengendalikan sebuah restoran malatang milik keluarga He.
Wang membantu perniagaan itu selama enam bulan, namun He tidak berpuas hati kerana wanita tersebut cuma melakukan tugasan mudah.
“Dia makan malatang di kedai setiap hari. Apa yang kami jual tidak cukup untuk menampung makanan yang dia makan,” kata He.
Selepas sesi perbicaraan, mahkamah menolak tuntutan He sebanyak 30,000 yuan, namun memerintahkan Wang membayar semula separuh daripada bayaran awal mas kahwin sebanyak 20,000 yuan.
Kes itu menjadi tular di media sosial dengan rata-rata pengguna media sosial menyelar sikap He.
“Dia tidak layak berkahwin tetapi cukup sekadar mengupah orang gaji,” kata seorang netizen.
“Tahniah kepada wanita tersebut kerana berjaya pergi daripada hidup lelaki yang kedekut seperti itu,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI














