MELAKA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka menyiasat dakwaan beberapa pasar raya enggan menjual minyak masak paket tanpa pendaftaran Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS).
Pengarah KPDN Melaka, Dr. Mohd. Hazimin Jamaludin berkata, pihaknya menerima aduan tersebut daripada orang ramai dan sedang memantau premis yang didakwa menyusahkan pengguna, khususnya melibatkan jualan barangan kawalan.
Jelasnya, pengguna yang tidak mempunyai telefon pintar atau tidak dapat membuat imbasan termasuk golongan warga emas sepatutnya masih dibenarkan mengisi borang secara manual untuk membeli minyak masak paket.
“Jika pembeli tidak mempunyai telefon pintar atau tidak dapat membuat imbasan, mereka masih dibenarkan membuat catatan secara manual.
“Yang penting, pengguna tetap boleh mendapatkan minyak masak tanpa sebarang masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2025 KPDN Melaka di Jaya Grocer Klebang, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, tindakan pasar raya yang tidak mahu bertolak ansur itu boleh disiasat di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan, yang jika sabit kesalahan boleh membawa denda sehingga RM100,000 bagi individu dan sehingga RM500,000 bagi syarikat.
“Pelaksanaan eCOSS bertujuan memastikan keharmonian ekonomi serta kebajikan rakyat terus terpelihara. Sekiranya terdapat premis yang menyusahkan pengguna, orang ramai diminta membuat aduan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ujarnya, pelaksanaan sistem eCOSS menunjukkan perkembangan positif dalam bekalan minyak masak dan berjaya mengatasi isu ketirisan. – KOSMO !ONLINE














