SUBANG JAYA – Sebanyak sembilan jenis barangan keperluan disenaraikan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2025 yang berkuat kuasa bermula 23 hingga 27 Disember ini bagi mengawal pergerakan harga menjelang sambutan perayaan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, pelaksanaan skim tersebut adalah langkah campur tangan kerajaan bagi memastikan pengguna terus menikmati harga barangan yang berpatutan.
“Skim ini bertujuan memastikan harga barangan keperluan tidak meningkat secara tidak terkawal ketika musim perayaan, selain melindungi kepentingan pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pemeriksaan pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2025 di Jaya Grocer, NU Empire Shopping Gallery hari ini.
Menurut beliau, SHMMP Krismas 2025 dikuatkuasakan selama lima hari iaitu dua hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan dua hari selepas perayaan.
“Tempoh pelaksanaan ini mengambil kira keseimbangan antara kepentingan pengguna dan peniaga agar kedua-dua pihak tidak tertekan,” ujarnya.
Katanya, sembilan barangan harga terkawal yang terlibat ialah daging kambing biri-biri bertulang import, kubis bulat import, lobak merah, tomato, lada benggala hijau, cili merah, ubi kentang import, bawang merah besar dan bawang kuning besar.
Mengulas hasil pemeriksaan hari pertama, beliau berkata tahap pematuhan peniaga didapati berada pada tahap yang baik.
“Premis ini mematuhi peraturan dan ada barangan dijual pada harga lebih rendah daripada harga maksimum yang ditetapkan,” katanya.
Beliau menegaskan, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan sepanjang tempoh penguatkuasaan skim itu.
Dalam masa sama, orang ramai digesa menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berkaitan salah laku peniaga bagi membolehkan tindakan segera diambil demi melindungi kepentingan pengguna sepanjang musim perayaan Krismas ini. – KOSMO! ONLINE














