fbpx
YUSOFF (tengah) mendedahkan bahawa FAM menerima makluman daripada FIFA yang akan menjalankan siasatan ke atas Noor Azman ekoran isu pemalsuan dokumen. - FB FAM

FIFA siasat Setiausaha Agung FAM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERSEKUTUAN Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) akan melakukan siasatan terhadap Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman berhubung isu pemalsuan dokumen pemain warisan negara.

Malah, Noor Azman juga berisiko dikenakan hukuman oleh FAM yang bakal membawa isu ini ke peringkat Jawatankuasa Tatatertib untuk tindakan lanjut.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan pihaknya sudah menerima makluman daripada FIFA yang akan melakukan siasatan terhadap Noor Azman.

“Kita akan merujuk Noor Azman kepada Jawatankuasa Disiplin FAM susulan cadangan daripada IIC dan kita juga menerima emel daripada FIFA yang memaklumkan mereka akan menjalankan siasatan ke atas beliau.

“Alasan FIFA adalah mereka ingin mengetahui peranan Noor Azman, proses yang dilakukan dan sejauh mana pembabitannya untuk dokumen yang dihantar.

“FIFA lebih hendak mengetahui proses dan tanggungjawab yang dilakukan Noor Azman dengan lebih mendalam,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas EXCO di Wisma FAM, semalam.

Dalam laporan sebelum ini, Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) mencadangkan supaya FAM membuat laporan polis untuk tindakan sewajarnya bagi membuktikan asal usul dokumen yang disyaki palsu serta mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab.

Jawatankuasa itu menjelaskan, kes berkenaan membabitkan dakwaan pemalsuan dokumen rasmi adalah satu kesalahan jenayah di bawah undang-undang Malaysia dan turut mencadangkan supaya Jawatankuasa Tatatertib FAM memulakan prosiding tatatertib dalaman terhadap Noor Azman, mengikut keperluan proses sewajarnya.

“Kita akan buat laporan polis seperti saranan IIC yang menekankan supaya polis diberi ruang untuk menyiasat kes ini. Tentu sekali dalam masa terdekat untuk kita buat laporan polis dan kita akan membuat laporan bahawa berlaku pemalsuan dokumen yang dihantar kepada FIFA.

“Kita mahu siasatan mengenai bagaimana pemalsukan ini boleh berlaku, siapa yang bertanggungjawab buat pemalsuan dokumen seperti disyorkan IIC,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN