MADRID – Dunia tenis lelaki dijangka terus berputar di sekitar dua nama besar, Jannik Sinner dan Carlos Alcaraz, namun bekas pemain nombor dua dunia, Alex Corretja percaya dominasi itu bukan kebal sepenuhnya menjelang musim ATP 2026.
Corretja berpendapat, kemunculan pemain yang mampu menandingi dua bintang utama itu penting untuk memastikan persaingan kekal sihat dan mencabar, terutama selepas Sinner dan Alcaraz mendominasi hampir keseluruhan pentas Grand Slam musim 2025.
“Tidak dinafikan adalah sesuatu yang positif jika ada pemain lain yang boleh memberi ancaman sebenar kepada mereka,” kata Corretja.
Antara nama pertama yang disebutnya ialah Jack Draper apabila Corretja yakin pemain Britain itu mampu menjadi pencabar serius sekiranya kembali cergas sepenuhnya selepas tempoh panjang dibelenggu kecederaan.
Corretja turut menamakan Ben Shelton sebagai calon berbahaya, namun menegaskan kestabilan permainan menjadi faktor utama, manakala pemain muda Brazil, Joao Fonseca pula dianggap sebagai prospek jangka sederhana yang berpotensi memberikan ancaman.
“Kita akan lihat sama ada Shelton mampu menemui semula tahap terbaiknya dan mengekalkan konsistensi dan untuk Fonseca, dia ada bakat besar, jika bersedia dari segi fizikal serta mental, dia boleh mula menyerlah dalam kejohanan besar,” jelas Corretja.
Selain itu, Lorenzo Musetti juga dilihat berpeluang mencuri tumpuan jika berjaya mengekalkan momentum, sementara status Alexander Zverev dan Daniil Medvedev masih bergantung kepada keupayaan mereka untuk kembali stabil di peringkat tertinggi.
“Gelanggang ini sentiasa berkembang. Akan sentiasa ada pemain baharu yang muncul dan mencabar hierarki sedia ada,” kata Corretja yang memberi isyarat era dua dominan itu tetap akan diuji. – AGENSI














