LANGKAWI – Sambutan luar biasa daripada pelancong dalam dan luar negara terhadap Langkawi SkyCab nyata membanggakan pihak pengurusan, sekali gus mencerminkan tarikan pelancongan pulau itu terus menjadi tumpuan ramai.
Menurut kenyataan rasmi pengurusan Langkawi SkyCab, mereka berkomitmen untuk terus memberikan layanan dan perkhidmatan terbaik kepada semua pengunjung, agar pengalaman menaiki kereta kabel di pulau lagenda itu sentiasa meninggalkan kenangan manis.
“Alhamdulillah, sambutan pelancong ke Langkawi SkyCab amat memberangsangkan. Kami akan terus komited memberikan layanan dan perkhidmatan terbaik kepada semua pengunjung.
“Bagi keselesaan anda, mekanisma ‘boarding time’ dilaksanakan supaya anda boleh menikmati pelbagai aktiviti menarik di kawasan bawah terlebih dahulu sebelum giliran menaiki cable car (kereta kabsl) anda dipanggil,” katanya kenyataan itu.
Dalam pada itu, situasi di bandar Hatyai, Thailand, yang sedang dalam proses pemilihan serta pembersihan ekoran dilanda banjir teruk bulan lalu dilihat menjadi antara faktor ramai pengunjung tempatan khususnya menukar rancangan bercuti mereka ke dalam negara sepanjang cuti persekolahan bermula minggu ini.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan ribuan pelancong tempatan dijangka memilih Pulau Langkawi sebagai destinasi alternatif apabila industri pelancongan di Hatyai hanya dijangka pulih sepenuhnya pada penghujung Januari 2026. – KOSMO! ONLINE














