fbpx
Hussein (gambar) ketika sidang akhbar rampasan dadah bernilai RM37.89 juta di makmal haram memproses dadah di di kebun durian di Jalan Teluk Bahang, hari ini. Foto oleh DANIAL SAAD/KOSMO!

Ahli kimia dadah dicekup, bongkar makmal syabu RM38 juta dalam dusun durian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TELUK BAHANG – Taktik licik sekumpulan ahli kimia dadah, terdiri daripada tiga lelaki warga asing yang menjadikan rumah kosong di dalam dusun durian di sini sebagai makmal memproses syabu akhirnya terbongkar dalam tiga siri serbuan pada Sabtu dan Ahad lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis berjaya menumpaskan sindiket dadah antarabangsa yang disyaki beroperasi sejak Ogos lalu dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan seberat 1.2 tan, membabitkan nilai RM38 juta.

“Sindiket ini menjadikan sebuah rumah di kawasan kebun durian sebagai makmal haram memproses dadah, manakala premis perniagaan dan kondominium digunakan sebagai stor penyimpanan serta lokasi pembungkusan sebelum bekalan dihantar ke luar negara,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, dalam serbuan pertama di sebuah premis kondominium di sekitar Jalan Gurdwara, George Town, polis menahan tiga lelaki warga asing dipercayai berasal dari sebuah negara di Timur berusia antara 32 hingga 38 tahun yang berperanan sebagai ahli kimia memproses dadah.

Bagaimanapun, katanya, seorang lelaki warga tempatan berusia 27 tahun yang dipercayai bertindak sebagai koordinator sindiket maut selepas terjatuh dari aras lima kondominium itu ketika cuba melarikan diri.

“Koordinator sindiket ini dipercayai berperanan menyediakan lokasi sesuai termasuk lokasi di kebun durian untuk membolehkan sindiket ini menjalankan operasi memproses dadah.

“Hasil pemeriksaan di premis berkenaan, polis merampas 36 kilogram serbuk putih disyaki syabu serta pelbagai peralatan pembungkusan dadah. Dalam serbuan kedua di sebuah premis perniagaan sekitar Taman Windmill, Jalan Gurdwara, polis merampas 474 kilogram (kg) syabu di situ,” katanya.

Katanya, serbuan ketiga di kebun durian di Teluk Bahang yang disewa dengan harga RM80,000 setahun pula menemukan rampasan terbesar melibatkan 60kg serbuk syabu, 54kg ketulan kristal syabu, 574kg cecair disyaki syabu dan pelbagai peralatan memproses dadah.

“Secara keseluruhan, jumlah rampasan dadah mencecah 1.2 tan yang dianggarkan mampu merosakkan hampir 5.94 juta penagih,” katanya.

Beliau berkata, sindiket berkenaan dipercayai diketuai individu dari luar negara dari Timur yang menghantar bahan kimia dan peralatan memproses dadah ke Malaysia sebelum membawa masuk tiga ahli kimia warga asing itu menggunakan visa pelancong. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN