SEBERANG PERAI – Empat kereta termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dan utiliti sukan, BMW X5 yang diletakkan berhampiran sebuah medan selera di Jalan Song Ban Kheng di Bukit Mertajam, di sini musnah dalam satu kejadian kebakaran, petang tadi.
Bagaimanapun, kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 2.27 petang tadi tidak melibatkan sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, operasi memadamkan kebakaran melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perda.
“Setibanya di lokasi, didapati sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire terbakar 95 peratus dan kenderaan utiliti sukan (SUV) BMW X5 terbakar 95 peratus manakala dua lagi kereta jenis Toyota Camry dianggarkan musnah sebanyak 30 dan 15 peratus.
“Anggota penyelamat kemudiannya menjalankan kerja pengawalan dan pemadaman api yang turut dibantu oleh persatuan bomba sukarela (PBS) berhampiran.Operasi tamat sepenuhnya pada 3.04 petang,” katanya di sini, petang tadi. -KOSMO! ONLINE














