fbpx
Pengenalan STSDS bakal menyediakan proses yang lebih kemas, sambil memberi lebih kawalan kepada perniagaan dan individu. – Gambar hiasan

Taksir Sendiri Duti Setem mula 1 Januari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Malaysia bakal melangkah ke fasa baharu dalam pemodenan pentadbiran cukai apabila Sistem Taksir Sendiri Duti Setem (STSDS) diperkenalkan mulai 1 Januari 2026.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkata, melalui inisiatif ini, pembayar duti akan menaksir dan membayar duti setem secara digital terus melalui portal MyTax, selaras dengan hala tuju negara ke arah model digital-first dan pematuhan kendiri.

“Peralihan ini menandakan perubahan besar daripada amalan penilaian rasmi oleh pihak berkuasa sebelum ini, kepada sistem taksir sendiri yang akan diperkenalkan secara berfasa antara tahun 2026 hingga 2028.

“Ia seiring dasar kerajaan yang memberi tumpuan kepada pendigitalan, pematuhan sukarela serta pengukuhan tadbir urus fiskal tanpa menaikkan kadar cukai secara langsung,” katanya di sini baru-baru ini.

LHDN berkata, pelaksanaan STSDS akan diperkenalkan secara berfasa iaitu Fasa 1 berkuat kuasa 1 Januari 2026 melibatkan surat cara Sewa atau Pajakan, Sekuriti dan Penyeteman Am, manakala Fasa 2 berkuat kuasa 1 Januari 2027 merangkumi surat cara Pindah Milik Harta Tanah yang tidak memerlukan nilaian JPPH.

“Sementara itu, Fasa 3 berkuat kuasa 1 Januari 2028 meliputi semua kategori surat cara lain yang tidak termasuk dalam Fasa 1 dan Fasa 2.

“Peralihan ini dimungkinkan melalui pindaan Akta Setem 1949 yang memberi kuasa undang-undang kepada pembayar duti untuk menaksir, mengira dan mengisytiharkan duti setem secara digital,” katanya.

Tambahnya, di bawah sistem baharu ini, pembayar duti perlu mengemukakan Borang Nyata STSDS secara digital melalui MyTax.

Setelah penyata tersebut difailkan, ia dianggap sebagai suatu taksiran, kecuali pegawai pemungut memilih untuk melakukan penilaian rasmi.

Pembayar duti bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penyimpanan rekod, pemfailan tepat pada masanya, dan pembayaran duti. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan penalti lebih tinggi serta risiko audit.

“STSDS dijangka meningkatkan pematuhan melalui pengurangan dokumen tidak atau kurang dimeterai, di samping mempercepat hasil kutipan kerana duti wajib dibayar ketika Borang Nyata STSDS difailkan.

“Ia menawarkan beberapa faedah utama kepada pembayar duti dan industri antaranya proses digital yang lebih diperkemas tanpa keperluan menunggu notis taksiran, selain memberi kawalan yang lebih besar kepada perniagaan kerana pengguna boleh menentukan sendiri penyerahan, pengiraan serta masa pembayaran.

“Sistem ini juga mempercepatkan pemprosesan dengan memendekkan tempoh dokumentasi bagi pindah milik hartanah, urus niaga saham dan perjanjian komersial, di samping menyediakan audit trail yang lebih jelas sekali gus mengurangkan risiko kesilapan dan pertikaian,” katanya.

Jelasnya, negara seperti Hong Kong, Singapura, United Kingdom dan Australia telah pun melaksanakan sistem seakan STSDS dengan kadar kejayaan yang tinggi.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN