KUALA LUMPUR – Polis membuka siasatan terhadap satu lagi laporan baharu membabitkan seorang murid lelaki berusia 11 tahun yang mendakwa menjadi mangsa amang seksual oleh seorang guru di sebuah sekolah di Kampung Pandan, di sini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, laporan tersebut diterima pada pukul 1 tengah hari semalam.
“Laporan ini melibatkan suspek yang sama dan kini masih dalam tahanan reman.
“Kita harap masyarakat yang mempunyai maklumat tampil membantu pihak polis kerana kes sebegini perlukan bantuan awam,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Prihatin Insani Bersama Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Terdahulu, pada Khamis lalu seorang guru lelaki berusia 40 tahun di sebuah sekolah di Kampung Pandan di sini, ditahan bagi membantu siasatan kes amang seksual membabitkan kanak-kanak berusia 11 tahun.
Penahanan itu susulan laporan yang diterima pada 16 Disember lalu.
Suspek telah direman enam hari sehingga 25 Disember untuk siasatan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017.
Sementara itu, mengulas mengenai Majlis Prihatin Insani Bersama Persatuan Perkep Kuala Lumpur, Fadil mengucapkan terima kasih di atas kerjasama Yayasan Al-Izuddin (YAIZ), MedicAid dan Sri Ternak kepada warga Polis Kuala Lumpur dalam menyantuni warga polis.
Katanya, sasaran penerima sumbangan ialah warga Polis Kuala Lumpur yang terdiri daripada golongan asnaf serta mereka yang mempunyai anak istimewa. – KOSMO! ONLINE














