fbpx
Pertunjukan bunga api sebagai simbolik penutupan Sukan SEA Thailand 2025 di Stadium Nasional Rajamangala. Foto oleh FARIZ RUSADIO / KOSMO!

Persiapan Sukan SEA 2027 menyeluruh, terancang dan berwibawa – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kerajaan memberi jaminan persiapan Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027 akan dilaksanakan secara menyeluruh, terancang dan berwibawa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persiapan tersebut bukan sekadar dari sudut prasarana dan penganjuran, tetapi dalam membina ekosistem sukan yang mampan serta melahirkan bakat berkelas dunia.

“Lebih daripada itu, sukan adalah wadah penyatuan rakyat yang menyatukan kita merentas kaum, wilayah dan latar belakang dalam satu semangat kebersamaan serta kebanggaan nasional.
“Inilah kekuatan sebenar Malaysia yang mesti terus dipelihara dan diperkasa,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial hari ini.

Malaysia dilaporkan akan menganjurkan Sukan SEA 2027 dari 18 hingga 29 September dengan melibatkan empat negeri iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur.

Sebanyak 38 jenis sukan bakal dipertandingkan dan pemilihan tarikh temasya tersebut adalah dengan mengambil kira musim cuti universiti serta keadaan cuaca.

Terdahulu, Anwar berkata, masih belum terlewat untuk beliau mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada seluruh kontinjen Malaysia atas pencapaian membanggakan di Sukan SEA Thailand baru-baru ini.

Menurut beliau, kejayaan itu adalah hasil disiplin yang tinggi, pengorbanan yang berterusan serta semangat juang para atlet, jurulatih dan pegawai pasukan yang tidak pernah luntur dalam mengharumkan nama negara di persada serantau.

“Pencapaian ini wajar dijadikan pemangkin untuk terus memperkukuh persiapan menghadapi temasya sukan utama yang lain, agar Malaysia kekal berdaya saing dan disegani di peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI