JAKARTA – Berpuluh-puluh lelaki di Lombok Tengah, wilayah Nusa Tenggara Barat mengundang perhatian ramai apabila mandi lumpur secara beramai-ramai di sebatang jalan yang berlubang, lapor laman berita Detik.
Kejadian berlaku di Jalan Penujak-Selong Belanak semalam.
Rakaman video dimuat naik di platform Facebook oleh akaun @Dneq_Husen memaparkan beberapa lelaki termasuk penghulu sedang bermandi manda di sebuah lopak air yang dipenuhi lumpur.
Ada antara mereka yang berbaring, manakala sebilangan lagi dilihat menyiram badan dengan lumpur.
Mereka bertindak sedemikian sebagai tanda protes kepada pihak berkuasa agar jalan yang rosak dapat segera dibaiki.
Rakaman itu mencatatkan lebih 90,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Pihak berkuasa sedang tidur nyenyak,” kata seorang netizen.
“Saya hampir terjatuh setiap kali menggunakan jalan itu,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI














