fbpx
KEADAAN terkini Medina di Hospital Shanghai, China sebelum menjalani pembedahan pemindahan hati, esok.

Pembedahan hati esok, bapa Medina mohon doa rakyat Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Bapa kepada kanak-kanak penghidap biliary atresia (BA), Nur Asyura Medina Muhammad Ikmal Haziq yang berusia 2 tahun 4 bulan merayu seluruh rakyat Malaysia agar mendoakan kelancaran prosedur pembedahan pemindahan hati yang dijadualkan berlangsung di Hospital Shanghai, China, esok.

Muhammad Ikmal Haziq Mazlan, 24, yang akan mendermakan sebahagian hatinya kepada anak pertamanya itu berkata, dia dan keluarga kini bergantung sepenuhnya kepada doa orang ramai agar prosedur berisiko tinggi itu berjalan lancar.

“Pembedahan dijadualkan pada pukul 9 pagi esok. Harapan kami sekeluarga agar orang ramai tidak putus mendoakan Medina supaya kembali sihat seperti kanak-kanak lain. Doakan esok segala urusan dipermudahkan dan Medina dijauhkan daripada segala komplikasi,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

Menurut Ikmal, mereka dimaklumkan jadual pembedahan itu oleh pihak doktor selepas Medina menjalani beberapa pemeriksaan awal sejak tiba di China pada Khamis lalu.

Katanya, setakat ini anaknya itu berada dalam keadaan stabil dan bersedia untuk prosedur tersebut.

Kosmo! sebelum ini melaporkan Medina yang kini bertarung nyawa akibat penyakit biliary atresia, bakal menerima sebahagian hati daripada bapanya dalam prosedur pembedahan yang dijadualkan berlangsung di sebuah hospital di China dengan anggaran kos rawatan RM185,000.

Muhammad Ikmal berkata, pembedahan itu sepatutnya dilakukan ketika Medina berusia setahun, tetapi dana tidak cukup dan kini doktor memberi prognosis 50-50 susulan hati kanak-kanak itu sudah mula menjadi keras.

Menurutnya, kos bagi pembedahan itu telah mencukupi dengan sebahagian besar disumbangkan oleh Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh iaitu sebanyak RM120,000 menggunakan duit simpanan haji, manakala RM62,000 dikutip melalui Yayasan Nanyang Press. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN