PETALING JAYA – NOIR, jenama produk penjagaan kecantikan popular di negara ini, sedang merangka untuk mengukuhkan jenamanya sekali gus memperluaskan penguasaan pasarannya secara berperingkat selain terus fokus mengekalkan kualiti produk.
Pengasas jenama tersebut, Eriyca Baiduri atau lebih mesra dikenali sebagai Madammu berkata, antara inisiatif terbaharu syarikat selepas membina jenama tersebut lebih 10 tahun terutamanya dalam platform online dan kini melangkah ke fasa baharu iaitu melancarkan kedai flagship pertamanya di Pavilion Bukit Jalil.
Pengembangan terbaharu ini menandakan peralihan jenama daripada platform digital sepenuhnya kepada pengalaman runcit fizikal dan pemilihan beroperasi di pusat beli-belah itu juga dibuat berdasarkan kekuatan pasaran tempatan, khususnya pengguna Melayu yang menjadi sasaran utama jenama tersebut.
“NOIR kini melangkah ke fasa baharu sebagai sebahagian strategi pertumbuhan jangka panjang, termasuk persediaan awal ke arah penyenaraian awam (IPO).
“Operasi secara online masih kekal, ejen masih aktif, tetapi sekarang masa untuk buat sesuatu yang baharu dan terus berkembang,” katanya pada majlis pelancaran kedai flagship terbaharunya itu baru-baru ini.

Eriyca menerangkan NOIR bukan jenama antarabangsa tetapi usaha syarikat adalah untuk menguasai pasaran tempatan dulu.
“Bila lokal kukuh dan relevan dengan keperluan orang Malaysia, barulah jenama nampak besar di negara sendiri.
“Kewujudan kedai fizikal juga memberi tahap kepercayaan yang lebih tinggi kepada pengguna.
“Kalau tak ada kedai, kepercayaan pelanggan lebih rendah. Bila ada retail, jenama kita akan nampak lebih diyakini,” jelasnya.
Berbeza dengan kempen pemasaran jangka pendek, Eriyca melihat pembukaan Flagship Store sebagai pelaburan jangka sederhana dengan risiko berbeza.
“Konsert atau acara besar mungkin impaknya satu malam, tetapi flagship ini kami rancang untuk dua tahun jadi risikonya berbeza, tapi impaknya lebih berpanjangan,” katanya.
Mengulas lanjut, kedai flagship tersebut menawarkan pengalaman kecantikan menyeluruh termasuk konsultasi kulit, analisis rutin penjagaan, demonstrasi produk, pelancaran eksklusif serta aktiviti komuniti.
Bersandarkan kepada perancangan tersebut, syarikat mengunjurkan jualan boleh mencecah antara RM30 juta hingga RM50 juta setahun dan menjangkakan ia boleh mencapai sehingga RM100 juta tahun depan. -KOSMO! ONLINE














