JAKARTA – Satu video tular di media sosial Indonesia memaparkan penduduk sebuah kampung terkejut apabila seorang lelaki yang baru sahaja diumumkan meninggal dunia muncul di rumahnya ketika persiapan pengebumian dilakukan, lapor laman berita Inilah Koran semalam.
Dalam video dimuat naik di aplikasi TikTok, sebuah rumah dilihat dipenuhi orang ramai yang hadir untuk majlis pengebumian.
Ahli keluarga lelaki berkenaan berada dalam keadaan sugul, manakala khemah juga telah dipasang.
Mereka dikatakan bersiap sedia menerima jenazah yang sebelumnya disahkan telah meninggal dunia.
Menurut laporan, beberapa penduduk menemukan mayat seseorang di kawasan sawah padi, yang mempunyai ciri fizikal sama seperti lelaki tersebut.
Selepas khabar tersebut diberitahu kepada ahli keluarga, pihak pengurusan masjid membuat pengumuman menggunakan corong pembesar suara.
Sejurus mendengar namanya disebut, lelaki tersebut bergegas pulang ke rumahnya yang sudah dipenuhi orang ramai.
“Mengapa orang mengumumkan kematian saya?” soalnya yang membuatkan tetamu terdiam sejenak.
Ahli keluarga lelaki tersebut kemudian menangis kegembiraan apabila menyedari bahawa mereka tersilap mengenal pasti mayat yang ditemukan. – AGENSI














