JAKARTA – Seorang lelaki di wilayah Aceh, Indonesia mengundang perhatian ramai apabila sanggup berjalan kaki sejauh 136 kilometer demi berkahwin dengan calon isterinya, lapor portal berita Lambe Turah.
Lelaki dikenali sebagai Handoko itu berjalan kaki dari Takengon menuju ke Lhoksukon di mana majlis perkahwinannya akan berlangsung.
Rakaman video dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @handoko_115 menunjukkan Handoko bersama beberapa lelaki melintasi laluan yang dipenuhi lumpur kering dan berbatu.
Dia terpaksa menempuh perjalanan ekstrem selepas beberapa laluan utama ditenggelami banjir lumpur baru-baru ini.
Rakaman itu mencatatkan lebih 80,200 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Lelaki yang serius akan sanggup melakukan apa-apa demi wanita yang dicintainya,” kata seorang netizen.
“Perjuangan yang tidak sia-sia,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI














