fbpx
Guan Eng

Jangan ulangi mimpi ngeri GST – Guan Eng

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pastikan mimpi ngeri pembayar cukai akibat bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang tidak dibayar berjumlah lebih RM30 bilion dari tahun 2015 hingga 2018 tidak berulang.

Penasihat DAP yang juga bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) pada ketika itu gagal membuat bayaran balik GST seperti yang diwajibkan undang-undang.

“Jumlah bayaran balik GST yang besar ini menjadi beban berat kepada perniagaan, bukan sahaja menjejaskan aliran tunai mereka malah mengancam kelangsungan operasi perniagaan.
“Bayaran balik GST berjumlah RM30 bilion ini hanya dipulangkan kepada pembayar cukai oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baru dipilih pada tahun 2019,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial hari ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam menegaskan pendirian BN supaya GST dikembalikan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bagi memastikan keadilan ekonomi serta hasil negara yang lebih mampan.

Guan Eng berkata, Ahmad Zahid ketika mengumumkan pendirian BN itu gagal merujuk kepada kelemahan terbesar pelaksanaan GST iaitu kegagalan membayar balik bayaran balik GST.

Beliau mempersoalkan apakah Ahmad Zahid boleh memastikan bahawa mimpi ngeri kepada pembayar cukai akibat kegagalan bayaran balik GST berjumlah RM30 bilion tidak akan berulang.

Katanya, sejak kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pula, lebihan cukai yang telah dibayar oleh perniagaan tetapi tidak dipulangkan oleh kerajaan juga mencecah puluhan bilion ringgit.

Kata beliau, entiti perniagaan masih belum menerima bayaran balik lebihan cukai bagi setiap tahun taksiran sejak 2020.

“Sekali lagi, seperti lebihan cukai input di bawah GST, lebihan cukai yang dibayar telah dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan dan digunakan serta dibelanjakan terlebih dahulu oleh kerajaan.

“Tiada asas moral, etika atau undang-undang untuk menahan lebihan cukai yang telah dibayar oleh pembayar cukai kerana ia adalah wang mereka sendiri dan bukan wang kerajaan,” katanya.

Sehubungan itu, Guan Eng berharap kerajaan semasa membayar balik sebahagian lebihan cukai yang belum dipulangkan itu supaya entiti perniagaan dapat menyambut Tahun Baharu Cina 2026 dengan lebih makmur. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN