KUALA LUMPUR – Hukuman Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang membatalkan keputusan tiga perlawanan persahabatan memberikan kesan besar kepada Harimau Malaya.
Menerusi kemas kini ranking FIFA, badan induk bola sepak antarabangsaa itu mengumumkan Harimau Malaya turun lima anak tangga, kini menghuni kedudukan ke-121 dunia.
Harimau Malaya kini mengumpul 1,145.89 mata dan kedudukan sekarang menyaksikan skuad kendalian Peter Cklamovski dipisahkan satu anak tangga dengan seteru utama di rantau ini, Indonesia yang berada di ranking ke-122 (1,144.73 mata).
Sebelum ini, FIFA membatalkan keputusan tiga perlawanan persahabatan dengan Cape Verde, Singapura dan Palestin dengan Malaysia dianggap tewas 0-3.
Keputusan itu bukan sahaja menyebabkan ranking Malaysia jatuh malah turut menyaksikan rekod tanpa kalah yang dilakar mereka sepanjang tahun ini lebur. – KOSMO! ONLINE














