LONDON – Liverpool terpaksa berdepan satu lagi malapetaka selepas penyerangnya, Alexander Isak mengalami kecederaan pada aksi menentang Tottenham Hotspurs, awal pagi semalam.
Ia menjadi detik tidak baik buat The Reds memandangkan Isak yang kini mula menemui sentuhan jaringan bersama pasukan, termasuk menghasilkan gol pembukaan pada perlawanan kali ini.
Ketika ini, Liverpool sudah pun hilang khidmat Mohamed Salah kerana bersama pasukan kebangsaan dalam saingan Piala Negara-Negara Afrika, manakala Cody Gakpo masih dalam proses pemulihan kecederaan.
“Kami hanya perlu tunggu dan lihat. Tetapi, kebiasaannya, jika pemain yang berjaya menjaringkan gol dan selepas itu tidak lagi kembali ke padang, ia adalah gambaran sesuatu yang tidak bagus,” kata Slot.
Selepas bergandingan dengan baik bersama Florian Wirtz, seorang lagi penyerang, Hugo Ekitike menghasilkan gol kedua The Reds, manakala jaringan Spurs dijaringkan oleh Richarlison.
Bagaimanapun, Spurs terpaksa menamatkan perlawanan dengan sembilan pemain selepas Xavi Simons dan Cristian Romero dilayangkan kad merah.
“Sukar untuk mempercayainya kami bermain menentang sembilan pemain. Kami perlukan beberapa lagi kemenangan untuk menjadi lebih selesa,” tambah Slot. – AGENSI














