ALOR SETAR – Seorang bekas warden sebuah pusat pemulihan dadah dan akhlak swasta melakukan sujud syukur di kandang tertuduh sebaik sahaja dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan membunuh penghuni di situ, empat tahun lalu.
Tertuduh, Sidi Ahmad Amin Mamat, 50, gagal menahan air mata selepas Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Evawani Farisyta Mohammad hari ini membuat keputusan melepas dan membebaskannya tanpa perlu membela diri di akhir kes pendakwaan.
Evawani memutuskan demikian setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh yang masih bujang itu.
Terdahulu, Evawani dalam penghakimannya antaranya menyatakan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kecederaan dialami si mati adalah akibat perbuatan tertuduh.
Ia termasuk kemungkinan mangsa dipukul oleh individu lain di dua hingga tiga tempat berbeza serta penemuan dua kesan asid deoksiribonukleik (DNA) individu tidak dikenali pada kain pelekat si mati.
Selain itu, katanya, tertuduh dituduh memukul bahagian dada dan leher si mati, sedangkan pakar patologi menunjukkan punca kematian adalah akibat kecederaan pada abdominal aorta.
Kecederaan itu berkemungkinan berpunca daripada cubaan si mati meloloskan diri dari pusat pemulihan menerusi ruang kecil sebesar kira-kira satu kaki.
Mengikut kertas pertuduhan, Sidi Ahmad dituduh membunuh Umar Muhajir Ghazali di sebuah pusat pemulihan dadah dan akhlak di Sintok, Changlun dekat sini antara pukul 11 pagi hingga 6.30 petang, 4 November 2021 dengan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sidi Ahmad ketika ditemui selepas prosiding meluahkan rasa syukur apabila dibebaskan setelah lebih empat tahun di penjara.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah SWT apabila dibebaskan selepas lebih empat tahun di penjara. Sukar nak gambarkan perasaan saya ketika ini sebab saya memang tunggu detik ini.
“Hari ini hari paling bahagia dalam hidup. Saya tanya kawan-kawan (di penjara), mereka kata bila keluar penjara, itulah hari paling bahagia dalam hidup,” katanya yang diwakili peguam Mohd. Hezeri Harun dan Mohd. Fadhly Yaacob.
Katanya, perkara pertama yang akan dilakukannya adalah pulang ke kampung halaman di Temerloh, Pahang, untuk bertemu ibunya yang berusia 75 tahun dan sudah uzur.
“Saya akan balik Temerloh, jumpa mak dahulu. Mak pun minta balik Temerloh dan tinggal bersamanya. Alhamdulillah, lepas ini boleh sambut puasa dan raya bersama keluarga,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














