KOTA BHARU – Seorang peniaga yang baru kehilangan isteri dalam kemalangan jalan raya di Temerloh, Pahang kira-kira tiga bulan lalu sekali lagi ditimpa musibah apabila rumah pusaka yang menjadi tempat tinggal keluarganya hangus dijilat api dalam kejadian di Kampung Langgar, Lorong Kubor Maras di sini semalam.
Dalam kebakaran kira-kira pukul 11.30 pagi itu, Tuan Hasbullah Tuan Ahmad, 42, berada di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini bersama adiknya, Noorsalwani, 38, untuk mencuci luka kecederaan pada lengan dan kaki akibat kemalangan yang berlaku pada September lalu.
Menurut Tuan Hasbullah, dia mengetahui rumah pusaka milik arwah ayahnya terbakar selepas dihubungi oleh jiran apabila dimaklumkan oleh anak lelaki, Mohd. Hafiz, 11, yang berada seorang diri di dalam rumah kerana baharu sahaja berkhatan semalam.
“Saya terkejut apabila menerima panggilan telefon itu dan meminta salah seorang adik untuk segera pulang ke rumah kerana bimbang keselamatan Mohd. Hafiz.
“Nasib baik anak saya cepat sedar kebakaran itu selepas dia terasa bahang panas dari arah bilik di ruang dapur rumah,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian di sini hari ini.
Tuan Hasbullah memberitahu, ketika adiknya sampai di rumah, api sedang marak dan dia tidak sempat menyelamat dokumen peribadi, barangan rumah termasuk wang tunai sebanyak RM5,000 dan barang kemas bernilai RM30,000.
Sementara itu, Komander Operasi Kanan, Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Zukeri Shafei berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 11.36 pagi semalam dan pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar sebuah rumah dua tingkat semasa tiba di lokasi kejadian.
“Kebakaran itu melibatkan hampir 80 peratus rumah tersebut. Anggota bomba mengambil masa lima minit untuk mengawal kebakaran dan api berjaya dipadam kira-kira tiga jam kemudian. Punca kebakaran dan nilai kerugian yang dialami mangsa masih dalam siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














