KEMAMAN – Seorang anggota polis marin yang dalam perjalanan ke tempat kerja maut selepas kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu terlibat dalam kemalangan di Kilometer (KM) 306.6, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Plaza Tol Kijal di sini hari ini.
Dalam nahas pada pukul 7.25 pagi itu, mangsa, Sarjan Raja Zulkifli Raja Husain, 49, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan pada beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Razi Rosli berkata, ketika kejadian, Raja Zulkifli dikatakan dalam perjalanan ke pejabat di Kuantan dari rumahnya di Kampung Seberang Pintasan, Dungun, dekat sini.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Perodua Myvi dipandu mangsa dikatakan hilang kawalan disebabkan tayar meletup. Kenderaan itu kemudian terbabas dan merempuh penghadang jalan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd. Razi berkata, impak rempuhan tersebut menyebabkan Raja Zulkifli tercampak keluar dari kenderaannya. – KOSMO! ONLINE














