KUALA TERENGGANU – Seorang anggota Maritim Malaysia (APMM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah RM3,000 pada tiga tahun lalu.
Tertuduh, Kamarul Hairie Elias, 47, membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Azhar Othman.
Berdasarkan pertuduhan, Kamarul Hairie didakwa menerima wang tunai sebanyak RM3,000 secara pindahan dalam talian daripada pemilik syarikat LGH Maju Trading melalui orang tengah sedangkan lelaki berkenaan mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan tertuduh di sebuah bank di Setiu pada 6 Oktober 2022.
Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan Kamarul Hairie dibebaskan dengan wang jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin.
Permohonan pihak pendakwaan agar sebutan semula kes dilakukan di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah juga dibenarkan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fariz Abdul Hamid, manakala tertuduh pula diwakili peguam, Rahamathullah Baharudeen. – KOSMO! ONLINE














